PROFIL

SEJARAH TANAH PERKUBURAN ISLAM TOK BUYA MUKIM PANGKAL MELERET

 

Sejarah Tanah Kubur Mukim Pangkal Meleret ini ialah bermulanya dengan Haji Abdul Rahman ayah kepada tok Buya (Haji Ismail), seorang ketua Masyarakat disini yang mengawal tanah ini dari dicerobohi oleh pihak lain. Bila Tok Buya balik daripada pengajian di Mekah, beliau menggantikan tempat ayahandanya (Haji Abdul Rahman) menjadi ketua Masyarakat disini. Beliau terus mempertahankan tanah ini dari dicerobohi oleh pihak-pihak lain. Keadaan tanah pada masa itu ialah hutan belukar yang tebal. Dengan usaha Tok Buya Bersama Masyarakat disini tanah tersebut dibersihkan.

Apabila kerajaan mencari tapak lokasi untuk bina sekolah, Tok Buya (Haji Ismail) memberi sebahagian tanah tersebut untuk pembinaan sekolah. Tanah  ini asalnya adalah seluas 17 ekar

 Orang pertama yang dikebumikan dikubur ini ialah ayahanda Tok Buya sendiri (Haji Abdulrahman) bersama isteri beliau iaitu Wan Sari. Haji Abdulrahman dan Wan Sari meninggal dunia pada hari yang sama dan dikebumikan juga pada hari yang sama di tanah perkuburan ini.

 

Tok Buya (Haji Ismail) sentiasa mengajar ilmu agama kepada seluruh Masyarakat sepanjang hayatnya dan beliau selalu berbincang hal-hal agama dengan rakan sepengajiannya sehinggalah di zamannya, Muzakarah Ulamaa Kelantan diadakan di Pangkal Meleret ini.

 Apabila anakanda Tok Buya (Haji Yusof) balik dari Mekah (belajar di Mekah) beliau dilantik menjadi Tok Penggawa bagi Daerah Tanah Merah. Dimasa Tok Penggawa Haji Ismail (anak Tok Buya) tanah kubur ini rasmi menjadi Tanah Kubur Mukim Pangkal Meleret. Dimasa itu tanah-tanah dibawah kuasaan tok Penggawa.

Bak kata orang “Zaman Berlalu Masa Beredar” masjid baru mahu didirikan, tanah bersesuaian masih tiada. Memandangkan tanah kubur yang masih luas, Tok Penggawa (Haji Ismail) Bersama mantan imam Masjid Pangkal Meleret iaitu Tuan Hj Arifin b. Ismail bersetuju mencadangkan kepada MAIK supaya tanah kubur ini sebahagiannya dijadikan tapak masjid baru.

 

Perbincangan demi perbincangan dilakukan sehinggalah zaman Tok Penggawa Rosli, telah selesai secara rasminya masaalah pembahagian tanah kubur yang sebahagiannya diberi untuk dijadikan tapak masjid baru.

Masyarakat menerima baik pembahagian ini. Mereka merasa sangat bersyukur, mereka mengadakan Majlis Kesyukuran di hari pembahagian sempadan yang dihadiri oleh MAIK, Pejabat Tanah, Jabatan Ukur, Tok Penghulu, Imam dan Ketua-ketua Masyarakat disini. Arwah Pak Su Din menghadiah dua ( 2 ) ekor kambing untuk jamuan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kerja-kerja mengukur sempadan, arwah Pak Su Din yang menjadi juru sembelih kambing tersebut manakala Puan Azizah Yunus AJK Muslimat bersama keluarga dan Masyarakat menjadi juru masak dan jamuan diadakan di Tadika Kemas.

Alhamdulillah dari sini bermulalah hak tersendiri di antara tanah sekolah, tanah masjid dan tanah kubur Mukim Pangkal Meleret.

 

Peringatan:  Kepada semua yang datang menziarahi kubur Tok Buya dapatlah kiranya Tuan / Puan sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa mereka, dan melapangkan kubur semua ahli kubur disini….

 

Nota: Catatan ini telah ditaip semula oleh Hj Che Aziz bin Che Omar 

Tarikh: 1 Julai 2025

Comments

Popular posts from this blog